Markas Pemerintahan Medan Barat

Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat atau dikenali sebagai Pemerintahan Medan Barat (PMB) adalah salah sebuah organisasi pemerintahan utama Tentera Darat Malaysia yang berpangkalan di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur. Sebelum tahun 2015, formasi ini lebih terkenal dengan nama Markas Pemerintahan Medan Tentera Darat namun telah ditukar selepas tertubuhnya Markas Pemerintahan Medan Timur hasil daripada penstrukturan semula Tentera Darat sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat (HUT TD) ke-81 pada 1 Mac 2014.Markas ini menaungi tiga ketumbukan utama iaitu Divisyen Ke-2 Infantri (2 Div) di Kem Tun Razak Pulau Pinang (mengawal wilayah utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia), Divisyen Ke-3 Infantri (3 Div) di Kem Sungai Udang Melaka (mengawal wilayah selatan Semenanjung) dan Divisyen Ke-4 Infantri (4 Div) di Kem Wardieburn Kuala Lumpur (mengawal wilayah tengah Semenanjung). Pemerintah markas ini dikenali sebagai Panglima Medan Barat (berpangkat jeneral tiga bintang).